Assalamualaikum w.b.t.
Apa khabar semua saudara seagamaku? Saudara sehati sejiwa dan moga-moga kekal sebagai saudara sejannah jua. Moga sentiasa sihat jiwa, raga dan imannya. Petang tadi, satu mesej masuk dalam group WhatsAppku. Suatu soalan jelas bertanda soal terlihat pada skrin handphoneku. Soalan dari adik lelakiku.
“Apa maksud tarbiah yang ada semua tahu?” soalnya dalam salah satu group.
Aku terdiam. Hakikatnya erti kata “tarbiah atau tarbiyah” itu selalu datang dan pergi dalam sehari-hariku. Selalu sangat aku dengar kata tarbiah itu. Sejak zaman sekolah menengah lagi. Tambah-tambah bila bersama dalam liko’ Badan Dakwah sekolah. Lagilah kerap aku mendengar kata itu. Namun seketika aku termangu sendiri. Sejauh mana aku faham soal tarbiyah sebenarnya?
Tarbiah itu bukan sesuatu tetapi sesuatu itu memerlukan tarbiah. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mentarbiyah orang lain, sampai kita sendiri terlupa mentarbiyah diri yang selalu dahagakan teguran dan pengisian jiwa.
Kerana tarbiyah itu memerlukan pemahaman, lantas terwujudlah entri ini untuk aku kongsikan buat kalian dan buat aku sendiri yang kadang-kala tersilap langkah dalam mengenal tarbiyah. Tarbiyah tu maksudnya mendidik. Dan orang yang mendidik itu digelar murabbi. Tarbiyah itu bukan sekadar pendidikan yang biasa-biasa, namun satu pendidikan yang melibatkan hati, jiwa dan akal manusia yang akhirnya menuju kepada mengenal Allah. Mengenal Dia Sang Pencipta. Lantas, erti kata Terbiyyah Islamiyyah itu hadir dalam kamus hidup kita apabila setiap ilmu yang kita faqihkan, setiap ilmu yang dididik adalah ilmu dalam mentauhidkan Allah s.w.t.
Semua orang boleh bercakap tentang tarbiyah, tapi tak semua orang boleh mentarbiyah diri sendiri. Punyalah kita sibuk ke sana-sini nak mentarbiyah orang. Buat usrah, buat liko’ bagai nak mentarbiyah junior, sedang kita lupa mentarbiyah diri. Tarbiyah itu perlu pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan benda yang kita suka yang Allah tak suka. Tarbiyah itu bukan sekadar kata-kata tetapi perbuatan. Niat nak mentarbiah pun kena betul. Kalau salah tak ke rugi semata-mata? Seorang sahabat pernah berkata,
“Niat ni macam surat. Silap tulis alamat, salahlah tempat sampainya”.
Tarbiah itu punya kuasa. Kuasa merubah kita seorang manusia bergelar hamba Allah. Tarbiyah itu punya kuasa merubah orang yang dulunya biasa-biasa kepada orang yang luar biasa iman takwanya. Tarbiah itu punya kuasa membangkitkan orang yang selalu lelap bermimpikan keindahan dunia menjadi orang yang kerap bacaan Al Qurannya. Orang yang kuat hafazannya. Tarbiah itu punya kuasa merubah hamba yang merasa diri dia mulia kepada hamba yang selalu tak lupa bermuhasabah diri, mengenang segala dosa dan beristighfar kepada Allah. Tarbiah itu punya kuasa merubah orang yang dulu buruk akhlak pekertinya kepada insan persis kain putih. Suci tanpa dosa.
Namun kuasa tarbiah itu tak pernah jadi nyata andai kita sendiri tak ada langsung niat merubah diri sendiri.
Wahai sahabat seagamaku, berhentilah menipu diri sendiri dengan berkata aku sudah ditarbiah sedang langsung tiada perbuahan yang kita tunjukkan. Andai tiada sesuatu pun yang kau korbankan dari sudut hitam hidupmu. Di sebalik topeng apa kau mahu bersembunyi? Menutup segala ruang jahiliah yang ada pada dirimu dengan membohongi setiap tusukan pandangan manusia. Sedang pandangan Allah jauh lebih jelas dari segala pandangan di pelusuk alam semesta.
#shahira_elyas
#23/02/2018
Comments