Assalamualaikum dan salam Sabtu buat semua. Alhamdulillah, seperti yang aku janjikan hari ini akan ku sambung perkongsian ilmu tentang Muwasafat Tarbiyah. Dan Inn syaa Allah, Wasilah Khusus Tarbiyyah Islamiah akan menyusul di entri yang akan datang.
Hakikatnya kata muwasafat itu asalnya dari kata wa-so-fa yang bermaksud ciri atau watak. Muwasafat pula berkait dengan seseorang pelaku, (subject) dalam menyerlahkan sifatnya. Macam susah nak faham kan? Berbelit-belit pula jadinya. Sabar. Jangan stress. Baca perlahan-lahan, Inn syaa Allah faham lah nanti.
Tarbiyah pula ertinya mendidik. Maksud yang lebih jelas tentang tarbiyah telah aku kongsikan dalam entri sebelumnya. Secara mudahnya Muwasafat tarbiyah itu bermaksud ciri-ciri atau sifat atau peribadi yang perlu ada dalam diri seseorang dalam membentuk seorang Muslim yang syumul.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:
“kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakkan mereka adalah orang fasik”
Allah juga berfirman dalam surah Al Fussilat ayat ke 33 yang bermaksud
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
Kalau kita tengok balik isi dari kedua-dua ayat cinta ALLAH ini, keduanya mempunyai intipati yang hampir sama yang mana keduanya menyatakan kepada kita bahawa menyeru manusia kepada Allah s.w.t menghasilkan pahala, dan ganjaran besar yang tidak ternilai disisi Allah.
Nak menyeru dan mengajak orang ni bukan benda yang mudah. Kita sendiri kena ada kekuatan dahulu baru boleh nak mengajar. Kalau kita sakit, tak bermaya, ilmu pun tiada, lalu bagaimana nak mentarbiyah orang lain. Kerana itulah, Imam Hassan Al Banna menggariskan kepada kita 10 Muwasafat Tarbiyyah biar kita tahu, biar kita sedar, biar kita tak jahil dalam mengenal erti kata tarbiyyah.
10 Muwasafat Tarbiyah ini akan aku terangkan satu persatu secara ringkas. Inn syaa Allah.
1. Salimul Aqidah (Good Faith)
Salimul Aidah atau AQIDAH YANG BERSIH adalah sesuatu yang perlu, harus, wajib ada pada setiap Muslim. Dengan aqidah yang bersihlah, seseorang hamba itu akan memiliki satu pertalian atau ikatan yang kuat dengan penciptanya, dengan Allah s.w.t. Dengan kuatnya ikatan inilah, kita tak akan terpesong dari jalan dan ketentuan-ketentuan Allah.
Allah s.w.t berfirman dalam surah Al An’am ayat ke 162 yang bermaksud,
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semuanya bagi Allah Tuhan semesta alam."
Betapa memiliki aqidah yang salim itu penting sehinggakan Rasulullah mementingkan pembinaan aqidah, iman dan tauhid dalam dakwahnya kepada para sahabat baginda di Makkah.
2. Shahihul Ibadah ( Right Devotion)
IBADAH YANG BENAR juga merupakan salah satu perintah Rasulullah yang tidak kurang pentingnya. Rasulullah pernah menyebut halam hadithnya, “Solatlah kamu sebagaiman kamu melihat aku solat”. Kalau ibadah itu boleh dibuat sesuka hati, maka aku yakin kata-kata ini tidak terungkap dari bibir baginda.
3. Matinul Khuluq (Strong Character)
3. Matinul Khuluq (Strong Character)
AKHLAK YANG KUKUH atau akhlak yang mulia juga perlu ada dalam diri seorang hamba yang sukakan tarbiyah. Mulianya akhlak itu bukan sekadar baik hubungannya dengan manusia tetapi juga akhlak dengan Rabbnya. Bukan susah nak jaga akhlak. Rasululah kan ada sebagai role modelnya. Hehe. Allah memang dah utuskan Rasulullah untuk memperbaiki akhlak dan Rasulullah sendiri telah menunjukkan betapa mulianya akhlak baginda sehinggakan Allah berfirman dalam surah Al Qalam ayat ke 4 yang bermaksud “Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agong”. Apa yang tinggal adalah untuk kita contohi je.
4. Qowiyyul Jismi (Physical Power)
4. Qowiyyul Jismi (Physical Power)
KEKUATAN JASMANI bermaksud seseorang itu mempunyai daya tahan tubuh yang membolehkan dia melakukan amal ibadah dan melaksanakan ajaran Islam sebanyak-banyaknya. Hanya dengan fizikal yang kuat, kita boleh melakukan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya. Kalau kita sendiri tak ada kekuatan, lesu, tak bermaya, nak berpuasa pun tak mampu macammana nak lakukan ibadah yang lain-lainnya. Sebab itulah, kita sebagai orang Islam kena jaga elok-elok kesihatan kita. Jangan buat sesuatu benda yang akhirnya merosak diri sendiri. Sebagaimana Rasulullah bersabda yang berarti “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah” (HR. Muslim)
5. Mutsaqqoful Fikri (Thinking Brilliantly)
Penting juga bagi seorang Muslim itu memiliki DAYA BERFIKIR YANG INTELEKTUAL. Kerana itulah salah satu sifat Rasul adalah Fatonah (bijaksana) dan Al Quran sediri pun banyak menyebut ayat-ayat yang boleh merangsang daya fikir manusia. Dalam Islam, tak ada satu benda pun yang boleh kita lakukan melainkan dengan dimulai dengan berfikir.Fikir mana halal, mana haram. Fikir patut atau tidak perkara itu dilakukan. Sebab itulah seorang Muslim itu perlu ada wawasan Islam yang kukuh, perlu ada ilmu yang luas.
Allah s.w.t bersabda “Katakanlah, samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” Surah Az Zumar ayat 9.
6. Mujahadatun Linafsihi (Continence)
Banyak-banyak perang, perang apa paling susah? Ha, cuba teka. Dapat jawab tak? Banyak-banyak perang, perang melawan nafsu yang paling berat. Yang paling susah dan mencabar. Kerana seorang manusia itu ada kecenderungan buat benda baik dan ada kecenderungan buat benda buruk, sebab itulah susah melawan nafsu sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Betapa kau perlu kekuatan dalam meninggalkan kecenderungan burukmu. Betapa kau perlu kesungguhan berjuang melawan hawa nafsumu. Dalam dunia ni ada dua jenis manusia, pertama manusia yang berajakan nafsu, dan kedua manusia yang merajakan diri sendiri bila berdepan nafsunya. Kalau kau boleh buat nafsu tunduk padamu, inn syaa ALLAH, lebih mudah perjalanan hidupmu. Rasulullah bersabda, “Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa yakni ajaran Islam”. (HR Hakim)
7. Harishun Ala Waqtihi (Good Time Management)
PANDAI MENJAGA WAKTU. Allah dan Rasul-Nya sendiri sangat mementingkan soal waktu. Sehingga banyak surah didalam Al Quran yang menyebut tentang waktu. Contohya Surah Al Fajr, Surah Al Dhuha, Surah Al Asr, Surah Al Lail dan banyak lagi surah-surah lain. Semua orang ada jumlah waktu yang sama. Tak ada orang yang terlebih waktunya. 24 jam Allah berikan setiap hari buat kita yang masih bernafas di bumiNya. Dalm 24 jam itu ada manusia yang beruntung, tak kurang juga manusia yang rugi. Sebab itulah, lebih baik kehilangan jam dari hilang waktu. Sebab bila hilang waktu susah nak ganti balik. Hilang jam, kat mana-mana boleh beli. Kalau pandai jaga waktu, senanglah hidup, kalau tak pandai, susahlah nanti. Itu ini rasa tak sempat. Sebab itulah dalam hidup ni kita kena manfaatkan 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara.
8. Munazzamah Fi Syu’nihi (Well Organized)
TERATUR DALAM URUSANNYA. Samaada urusan dunia atau urusan ibadah yang Allah gariskan dalam Al Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Bila sesuatu perkara itu dilakukan bersama, buatlah dengan teratur. Buatlah dengan kerjasama yang baik. Apapun buatlah sesuatu itu dengan tujuan menggapai cinta Allah. Buat apapun dengan profesional , walaupun benda tu as simple as ABC. Buat dengan bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban. Buat kerana Allah. Pernah dengar tak ada kata yang menyebut, Kalau seorang yang bergaji 5000 buat kerja macam orang yang bergaji 2000 maka Allah akan tarik 3000 dengan perkara-perkara lain. Kemalangan ke contohnya yang menyebabkan perlunya keluarkan duit atau sakit misalnya yang perlukan rawatan . Tapi kalau orang yang bergaji 2000 bekerja seperti orang yang bergaji 5000 ,Allah akan gantikan 3000 upahnya dengan memberinya rezeki melalui jalan yang dia sendiri tak pernah impikan.
9. Qodirun AlA Kasbi (Independent)
MEMPUNYAI KEMAMPUAN DENGAN USAHA SENDIRI. Benda yang juga pentingg yang patut ada dalam diri setiap Muslim. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkan dengan kemampuan yang dia ada. Samaada dari segi ekonomi, kekuatan atau lain-lainnya. Ada duit sikit, bantulah agama dengan duit. Infakkan ke jalan Allah. Cari jalan perbaiki diri bukan hidup dengan meminta dan megharapkan simpati orang. Usahakan dengan kudrat yang ada. Cuba berdiri di atas kaki sendiri. Cuba berdikari. Kadang-kadang orang selalu salah tafsir erti zuhud. Fikir mereka, zuhud itu perlu miskin. Peribadi muslim itu tak semestinya kena miskin. Boleh je seorang Muslim itu nak kaya raya. Bahkan memang harus kaya agar kita mampu menunaikan haji dan umrah, agar kita mampu keluarkan zakat, agar kita mampu menginfaq, agar kita mampu bersedekah dan melakukan amal-amal lain. Sebab tu lah Al Quran banyak menyebut tentang perintah mencari nafkah itu sendiri supaya Muslim itu boleh hidup dan tidak dipandang hina orang bukan Islam.
10. Naafiun Lig`hoirihi (Giving Contribution)
BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN. Perkara ke sepuluh ini adalah satu tuntutan bagi kita orang Islam. Manfaat yang dimaksudkan mestilah manfaat yang memberikan kebaikan sehinggakan dimanapun dia berada dia memberikan kesenangan kepada orang lain. Dia membuatkan orang disekelilingnya merasa selesa. Sebab itulah kita sebagai orang Islam perlu selalu berfikir, selalu cari jalan, selalu cari cara dan berusaha sebaik mungkin agar kita boleh memberi manfaat kepada orang lain. Jangan sampai kita orang Islam , langsung tak berikan kesan kepada Masyarakat sehingga orang merasakan, Islam itu hanya agana solat. Sebab itu jugalah Rasulullah bersabda, sebaik-baik kamu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.
Fuhhhhh. Alhamdulillah, cukup 10 muwasafat tarbiyah aku kongsikan. Moga memberi manfaat kepada semua.
Salah silap mohon betulkan. Tegurlah. Aku hanya seorang hamba yang miskin ilmunya.
Salah silap mohon betulkan. Tegurlah. Aku hanya seorang hamba yang miskin ilmunya.
#shahira_elyas
Comments