Skip to main content

Nukilan Seorang Kakak Buat Adik Tercinta!


Kerana kata “blood is thicker than water” dan kerana kata “air dicincang tidak akan putus” itu, aku rela melepaskan seorang adik ke satu tempat yang entah bila mampu kakiku menjejak debu tanahnya. Tempat para anbiya’. Tempat para Syuhada’. Bumi itu, bumi yang diimpikannya sejak dia bergelar seorang pelajar kelas agama. Bumi itu, bumi yang dirindukannya sejak dia kenal Allah penciptanya.
Memori-memori lama datang berkali-kali menerjah fikiran aku yang teramat menyayanginya. Mana ada kakak yang tak sayang adik nya. Aku berfikir soal aku, sedang soal umi dan abah tak pula aku fikirkan. Betapa setiap malam umi menangisi detik-detik kepergiannya. Beberapa hari sahaja lagi, berangkat dia membawa diri. Demi mencari lautan ilmu dari Tuhan. Hakikatnya, 4 tahun jangkaan dia disana belum tentu mampu seceduk ilmu dia dapatkan. Hatta seorang professor yang tinggi ilmunya, hanyalah setitis dari selautan mutiara-mutiara ilmu itu dia dapatkan.
Adik! Bercakap soal adik, mudah sangat hati aku tersentuh. Itu baru aku seorang kakak. Apatah lagi umi yang melahirkan kami adik beradik. Setiap hari umi bertanya, apa lagi yang ingin dibawa? Apa lagi yang nak umi beli? Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi itu apa lagi ini. Umi… Itulah umi. Insan paling risau tentang kami. Abah? Abah tak pernah tunjukkan rasa sayangnya pada kami. Tapi tak bermaksud abah tak sayang. Mungkin abah tak pandai nak menunjukkan depan kami. Tegas-tegas abah, tegas dia bertempat. Tegas dia pada kami biar kami kenal Allah. Tegas-tegas abah, marah dia buat kami kenal Pencipta, marah dia buat kami kenal Allah yang Esa. Setiap hari, bebelannya umpama tazkirah agama. Tazkirah pagi setiap kali dihantarnya kami adik beradik ke sekolah. Hakikatnya biar tak pernah abah sebutkan sayang dia pada kami, aku tetap rasa kasih sayangnya. Mana ada mak ayah yang tak sayang anak-anaknya. Lama aku tak menelefon, ditelefonnya juga. Katanya adik yang nak bercakap. Katanya umi yang nak bercakap, padahal Abah sendiri yang nak berbual dengan anak-anaknya.
Kerana kasih sayang yang kami cipta kerana Allah yang Esa, rasa kehilangan itu lagi menebal dalam diri aku walaupun dia, angah belum pergi. Adik kedua aku yang satu, Fadhlan namanya. Tegas pada pendiriannya. Komitmen dalam kerjanya. Aku hanya punya adik, aku kan anak sulong. Tapi ada dia, aku rasa aku ada abang untuk aku bergantung. Angah, itulah tempat aku bercerita ketika aku kecil. Nak bercerita pada umi dan abah. Aku malu! Berkongsi-kongsi cerita itulah kerja kami. Kadang-kadang rasa kelakar juga. Angah, adik kedua yang setahun lagi muda dari aku. Namun hakikatnya aku rasa aku dan dia sama. Apa yang aku kenal dia kenal. Apa yang aku makan dia makan. Tiada langsung istilah siapa makan garam dulu kerana jarak umur itu terlalu kecil berbanding memori yang kami cipta bersama. Pernah satu ketika aku berjalan bersama dia. Boleh pula seorang mak cik ingatkan dia anak aku. Apa ke tua sangat ke aku ni? Gelak sorang-sorang. Memang lah nampak tua kalau dah kerjanya masam mencuka tak ingat dunia.
Angah adik kedua ku yang satu. Cepat sangat lupa. Lupa pada kenangan-kenangan lama. Susah bercerita pada budak ni sebenarnya, bukannya dia ingat. Aku je yang selalu ingat kenangan-kenangan masa kecil. Bila ditanya itu ini, ingat ke tidak. Digelengnya kepala. Itu angah. Soal angah, hati aku terlalu sensitif. Bulan lepas, baru je tahu dia nak melanjutkan pelajarannya ke Mesir. Hati aku dah mula berombak. Air mata dah mula menitis. Kenangan lama dah mula datang balik, buat hati aku lagi sebak. Pertama kali aku dengar dia nak ke sana, aku antara orang paling gembira, tapi lama-lama rasa berat pula aku nak lepaskan adik aku yang satu ini. Macam kejam bunyinya, aku boleh pula tinggal dia di rumah dan belajar di luar negeri, bila tiba masa dia, aku yang tak rela.

Aku ingat lagi masa dia cakap dia nak ambik STAM dulu, “Along, aku nak ambik stam, pastu aku nak gi Mesir pastu balik aku nak belajar pondok kejap pastu aku nak sambung belajar balik, ambik master.” Tinggi cita-cita dia. Allah tunaikan satu impiannya nak ke Mesir. Pagi ni, satu lagi harapan dia suarakan. “Along, aku nak gi Mesir. Balik ni aku nak buka sekolah Tahfiz, sekolah pondok”.
Soal angah, aku selalu sangat terdiam sendiri. Masakan aku tak sedih. 19 tahun aku bersama dia. Dari kami kecil, hingga sekolah rendah, bahkan sekolah menengah kami sekolah bersama. Dulu dia ada tanya juga USIM macammana. Waktu tu aku happy sebenarnya sebab kemungkinan untuk kami belajar bersama tu mungkin juga ada. Aku ingat lagi dia kata “kalau aku belajar kat USIM, nanti bolehlah kita gi jalan-jalan sama-sama”.  Itu kata dia. Membayangkannya sahaja dah buat aku gembira. Impian seorang adik itu aku semat di dada. Syukur jua, impiannya belajar di bumi Mesir tercapai jua.
Dari aku kecil sampai saat ini, detik ini, aku tak pernah malu nak cerita pasal dia. Aku bangga sebenarnya. Aku bangga dengan semua adik-adik aku. Aku bangga nak beritahu seluruh dunia aku ada adik-adik yang selalu buat aku gembira walau ada ketikanya buat aku sedih juga. Walaupun masing-masing ada kekuatan dan kelemahannya. Aku bangga dengan mereka. Dengan angah dan adik-adik lain. Itu adik aku!!! Ya, aku nak beritahu itu.
Bercerita soal aku dengan angah. Terlalu banyak sebenarnya. Aku ingat lagi waktu abah belikan aku basikal warna merah. Kata dia abah belikan untuk dia, terus diambilnya basikal merah itu, dibawanya pusing satu halaman kuarters guru yang kami duduki. Menangis tak ingat dunia aku dibuatnya. Dah tak ada orang lain dah, umi dan abah juga yang pujuk. Aku ingat lagi waktu dia naik basikal dan terbabas jatuh dalam parit. Sampai benjol kepalanya. Menangis dia teresak-esak. Di bilik tengah rumah lama kami itu tempat dia terlentang menangis-nangis kesakitan. Aku ingat lagi masa kecil-kecil, kami ikat selimut pada tingkap dan satu lagi pada tiang katil semata-mata nak buat buaian. Marah sakan umi, tak ke terkoyak selimut tu kalau dah keempat-empat adik beradik naik sekali. Waktu kecil-kecil dahulu, puasa paling aku suka. Abah akan bakar ikan tongkol bawah rumah. Kami adik-beradik suka sangat time tu. Soal angah tak boleh aku lupa, antaranya bila pertama kali abah beli dia kasut roda. Suka sangat dia, sampai tak nak bagi orang lain pinjam. Pernah satu kali aku dan dia main buaian kat taman permainan depan kuarters guru. Kebetulan taman permainan tu dekat dengan kantin sekolah umi. Entah macam mana, tengah elok bermain ada scene baling-baling batu pula antara angah dan anak mak cik kantin. Tak ingat jelas aku bagaimana kisah itu bermula. Tahu-tahu angah dah berhenti baling batu dan sambung main buaian kat tepi aku. Aku ingat lagi dia bagitahu, “Berpeluh-peluh aku”. Aku tengok dia. Bukan peluh yang aku nampak. “Angah, darah” Dia sentuh kepalanya dan tengok cecair merah itu di tangannya. Terus dia menangis balik ke rumah. Rupanya kepala dia berdarah. Mungkin masa baling-baling batu tu. Tak silap aku 3 jahitan juga. Hurm. Boleh pula tak sedar kepala sendiri terluka.
Soal angah, selalu buat memori-memori lama berputar kembali. Ibarat rakaman dvd terlalu jelas di ingatan. Waktu kecil-kecil dulu, aku dan dia suka sangat tangkap pepatung. Entah ingat entah tidak dia, bila kami ikat plastik pada batang kayu semata-mata nak tangkap serangga kecil tu. Lepas tu angah bawak balik dan simpan dalam akuarium ikan. Lama-lama satu satu pepatung kecil tu mati. Kesian betul. Masa kecil-kecil kami suka tangkap ikan kat dalam longkang besar belakang kuarters rumah. Bersungguh-sungguh merangkak bawah pagar berjaring besi sebagai jalan shortcut untuk ke kedai runcit. Dah macam askar gamaknya. Masa kecil juga kami suka tangkap belalang. Scene paling kesian, bila kau dapat tangkap belalang tu dan kau buang bahagian tempat dia melompat. Last-last berjalan je belalang tu. Paling tak mati sendiri. Fikir-fikir balik, kejam betul kami adik beradik.
Aku ingat lagi, waktu tu aku, dia dan beberapa orang anak guru-guru lain kawan kawan umi tengah main-main kat kawasan kuarters tu, dan dia terpatahkan ranting bunga kertas milik mak kawan kami tu yakni kawan umi. Waktu tu kami kecik lagi darjah 3 atau empat. Si kawan tu pula ugut nak bagitahu mak dia dan minta angah sambung balik ranting kayu tu. Ranting bunga kertas tu agak tinggi asal tempatnya. Dhaif sungguh si angah. Bukan dhaif, betul sangat panjat beranda semata-mata nak sambung ranting yang dia patahkan yang memang tak kan boleh sambung balik. Aku paling sedih kalau orang marah-marah atau ugut-ugut adik aku. Tapi aku tak boleh nak buat apa-apa. Aku tengok je dia naik beranda tu. Aku tahu beranda tu tinggi. Aku tahu kemungkinan jatuh tu ada, tapi mulut aku ni terkunci. Entah macammana dia tergelincir dari beranda tingkat satu tu. Dia nangis. Ya dia nangis. Dan si kawan tu pula, diam tak kata apa apa. Aku berlari balik ke rumah dengan dia. Bercerita pada umi. 3,4 hari juga kami tak bercakap dengan si kawan tu.
Aku dengan angah kebanyakan masa kami bersama. Sejak dari tingkatan 3 lagi. Aku masuk syarahan bahasa arab dan bahasa melayu kategori B perempuan, dia pula masuk syarahan bahasa melayu ketegori B lelaki. Aku masuk bahas bahasa melayu, dia pun masuk bahas juga. Dia perdana menteri aku timbalannya. Dia ketua pembangkang aku pembangkang keduanya. Banyak masa kami luangkan pada minat yang sama. Masuk tunas niaga bersama. Dia pengarah urusan, aku pengurus kewangan. Bersusah payah berlatih bersama. Aku berlatih dia dengarkan. Dia berlatih aku betulkan. Itu rutin kami. Masuk badan dakwah bersama. Badan pengawas bersama. Bukan cikgu-cikgu tak kenal kami. Adik beradik yang selalu tak ada dalam kelas. Banyak pula kerja kami lebih dari guru. Sekejap-sekejap meeting tu, sekejap-sekejap meeting ni. Terlalu banyak dugaan waktu sekolah menengah dulu. Terlalu sibuk kami sebenarnya. Ada ketika kami nak berhenti dari masuk mana-mana pertandingan kokurikulum. Umi dan abah banyak nasihatkan. Ya, untuk satu ketika itu kami betul-betul nak tarik diri. Namun tika itu juga, pentadbiran sekolah ingin berjumpa. Dengar! Ya kami hanya mampu mendengar. Kami menolak. Menolak dengan alasan umi abah namun kata mereka buat kami kalah dengan pendirian yang kami bina. Masuk juga kami demi sekolah tercinta.
Dengan angah, banyak sangat memori tercipta. Kerana pertandingan-pertandingan yang ada, kami menjelajah satu Malaysia bersama-sama. Legoland, lawat J-Corp, Kuala Lumpur, Perak. Banyak tempat kami pergi bersama. Tegas-tegas umi abah, mereka benarkan juga kami pergi. Harapan anak-anak tak pernah umi abah tak tunaikan. Kami je yang selau lupa.
Angah dengan minatnya. Aku dengan minat aku. Angah dengan kerjanya dan aku dengan kerjaku. Makin lama, bila kami makin dewasa. Makin kurang bicara aku dan dia. Makin kurang tutur aku dengan dia. Balik aku ke kampung belum tentu boleh berjumpa dia. Sibuk! Dia sibuk dengan urusannya. Dan aku juga sibuk dengan urusan aku. Makin lama, tutur kami hanya pada alam maya. Di rumah kalau tidak aku yang tiada, dia yang tiada. Salah siapa sebenarnya? Mungkin juga salah aku tak pandai buka topik cerita.
Pernah sekali aku buka telefon bimbitnya. Saja nak tengok-tengok sebenarnya. Namun ada satu benda yang buat aku tak suka. Tak ingat aku tentang apa. Dia tengok aku buka telefonnya. Aku keluar bilik sambil menangis. Angah ketuk pintu bilik yang aku kunci. Aku kecewa tika itu. Kecewa dengan dia. Angah ketuk lagi. Tapi aku tak buka. Angah ketuk dan ketuk. Aku buka pintu dengan mata merah. Terus dia bersuara, “ambik air sembahyang. Kita sembahyang sama-sama, aku tunggu!” kata dia.
Aku sedih, tapi aku ambik juga wudhu dan ke bilik solat. Kami solat berjemaah. Solat aku dengan air mata kecewa. Kecewa kerana dia. Boleh pula semayang sambil nangis. Kan tak khusyuk jadinya. Selesai solat. Dibacanya doa dengan lantang biar aku dengar butir doanya. Tak pula aku ingat isi doanya, tapi ada antaranya yang tersemai kukuh dalam fikiran aku “Ya ALLAH, hari ni kakak aku buka telefon aku dan dia tengok benda yang tak sepatutnya dia lihat. Ya Allah kau lembutkan hati kakak hamba untuk memaafkan hamba. Hamba tahu dia kecewa. Ya Allah, kakak hamba salah faham pada hamba Ya ALLAH.  Ya Allah, hamba mohon padamu………..” Disambung lagi isi doanya Kebanyakannya soal aku. Bertambah sebak aku dibuatnya.
Birthday aku dengan dia tak jauh beza. Aku 19 April dia pula 22 April. Bila sambut birthday umi akan sambut tengah-tengah. Tak 20, 21 April. Tapi tu waktu kecil. Sambut pun, sambut dengan solat hajat. Tak ada maknaya abah benarkan berhiburan sangat.
Dah lama umi simpan hasrat adakan solat hajat untuk angah bila dapat tahu angah diterima sebagai salah seorang pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Mesir. Tiap hari juga umi bertanya, tarikh cuti aku. Tapi sayang, waktu mencemburui aku. Cuti yang ada hanya selepas angah berangkat pergi. Bersungguh umi minta aku pulang. Jumaat, 9 March tarikh solat hajatnya. Lama aku fikir. Macammana? Bagaimana hendak aku beri alasan pada pensyarahku. Patut kah aku balik atau hanya berjumpa angah di KLIA nanti. Berteka-teki dengan diri sendiri.
“Baliklah along. Baliklah solat hajat untuk angah. Kalau along tak balik sekarang, 4 tahun lagi baru boleh jumpa. Itu pun kalau jumpa, kalau Allah izinkan. Balik along. Kalau perlu tempah flight. Tempahlah umi bayar”. Begitu berharap umi pada aku. Lama aku berfikir. Flight yang ada harganya 300, 400 ringgit. Bas pula tiada hari itu yang tujunya ke Kelantan. Kebetulan, ada pak saudaraku yang nak pulang sama. Pulang juga kerana angah. Kerana solat hajat yang umi adakan. Cuti dimintanya biarpun hanya sekadar solat hajat anak saudara. Diambilnya aku dari Sutera Indah, ditinggal anak isteri hanya kerana solat hajat angah. Betapa aku bersyukur sebenarnya. Terlalu bersyukur.
Soal angah, takkan pernah habis aku cerita. Terlalu banyak yang nak aku cerita. Dalam perjalanan balik ke Kelantan, menangis lagi aku buat kesekian kalinya. Di depan tempat dudukku ada kawan bapa saudaraku yang dimintanya sebagai teman perjalanan. Ku tahan esak yang hampir terluah. Bila kau nak menangis tapi kau terpaksa tahan sampai satu saat kau rasa kau tak mampu nak bernafas. Itu yang aku rasa. Malam itu, di dalam kereta itu air mata tak sudah-sudah menitis. Mungkin ini yang umi rasa. Sampai di rumah, tepat jam 3 pagi. Ada abah yang keluar bukakan pintu. Yang lain dah lena kepenatan. Ku buka lampu bilikku. Penuh barang angah yang belum dikemas. Dari baju, sejadah, mandian ke segala rempah ratus bersepah dalam bilikku. Semakin terasa aku saat-saat keberangkatannya. Ku buka lampu biliknya. Ada dia lena tidur. Lama aku pandang.
Esoknya satu persatu temannya dan guru-guru kami datang. Sibuk dia melayan tetamu. Leka dia bersama rakan-rakannya. Kadang-kadang aku terfikir juga, dia tak sedih ke nak tinggal kami? Lantas akal aku bersuara, “Dia sedih, cuma dia tak nak tunjuk je”. Mungkin ya. Diakan lelaki. Mungkin juga salah tekaanku.
Tapi itulah dia. Adik keduaku. Adik lelaki yang kadangkala umpama abang. Adik lelaki yang selalu melindungi. Menegur manusia-manusia yang mengacau bilau hidup kakaknya. Itulah adikku. Adik yang bakal pergi mencari redha Ilahi. Menuntut ilmuNYA. Berbekal harapan dan impian di dada. Moga dia bahagia. Moga di selamat dalam perjalanannya. Inn syaa Allah seminggu dua lagi berangkatlah dia. Ku doakan keselamatan dan ketenangan selalu menemani perjalanan hidupnya. Moga kau berjaya adikku!!!!
Aamiin

#12March2018
#shahira_elyas
#nukilanseorangkakakbuatadiktercinta

Comments

Popular posts from this blog

Muwasafat Tarbiyah

Assalamualaikum dan salam Sabtu buat semua. Alhamdulillah, seperti yang aku janjikan hari ini akan ku sambung perkongsian ilmu tentang Muwasafat Tarbiyah. Dan Inn syaa Allah, Wasilah Khusus Tarbiyyah Islamiah akan menyusul di entri yang akan datang. Hakikatnya kata muwasafat itu asalnya dari kata wa-so-fa yang bermaksud ciri atau watak. Muwasafat pula berkait dengan seseorang pelaku, (subject) dalam menyerlahkan sifatnya. Macam susah nak faham kan? Berbelit-belit pula jadinya. Sabar. Jangan stress. Baca perlahan-lahan, Inn syaa Allah faham lah nanti. Tarbiyah pula ertinya mendidik. Maksud yang lebih jelas tentang tarbiyah telah aku kongsikan dalam entri sebelumnya. Secara mudahnya Muwasafat tarbiyah itu bermaksud ciri-ciri atau sifat atau peribadi yang perlu ada dalam diri seseorang dalam membentuk seorang Muslim yang syumul. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyu

Tarbiah Itu Apa?

Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar semua saudara seagamaku? Saudara sehati sejiwa dan moga-moga kekal sebagai saudara sejannah jua. Moga sentiasa sihat jiwa, raga dan imannya. Petang tadi, satu mesej masuk dalam group WhatsAppku. Suatu soalan jelas bertanda soal terlihat pada skrin handphoneku. Soalan dari adik lelakiku. “Apa maksud tarbiah yang ada semua tahu?” soalnya dalam salah satu group. Aku terdiam. Hakikatnya erti kata “tarbiah atau tarbiyah” itu selalu datang dan pergi dalam sehari-hariku. Selalu sangat aku dengar kata tarbiah itu. Sejak zaman sekolah menengah lagi. Tambah-tambah bila bersama dalam liko’ Badan Dakwah sekolah. Lagilah kerap aku mendengar kata itu. Namun seketika aku termangu sendiri. Sejauh mana aku faham soal tarbiyah sebenarnya? Tarbiah itu bukan sesuatu tetapi sesuatu itu memerlukan tarbiah. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mentarbiyah orang lain, sampai kita sendiri terlupa mentarbiyah diri yang selalu dahagakan teguran dan pengisian jiwa. Kerana

CRUSH

Assalamualaikum sister and brother yang  aku sayang. Ok, sebelum tu bila sebut sister jangan pula fikir benda yang bukan-bukan. Fikir tentang Yahudi, Kristian bagai. It just about 'kakak' yang diertikan dalam Inggeris je. Aku cakap awal-awal. Tak pasal-pasal nanti kena kecam, iluminati bagai. Please, open your mind. Change your mentality, ubah persepsi. So for today, apa yang akan aku kongsi, beri pandangan peribadi adalah tentang CRUSH. Bukan apa, tapi sejak 2,3 minggu akhir-akhir ni banyak pula confession cinta. Dekat mana? Dekat salah satu group telegram. Aku masuk group tu before group tu glamour yang tahap kalau boleh semua orang nak screenshot confession dalam tu jadi status whatsapp. Aku masuk group tu sebelum kebanyakan isi-isinya tentang cinta, tentang crush, tentang orang yang kau minat pakai baju apa, buat apa, budak mana, fakulti mana and so on. And so on. Group apa? Tak pelah. Tak nak lah aku cakap group apa. But probably most of USIM's students know ab