Skip to main content

Ayah! Moga Kau Tenang Di Sana


Catatan Hati

Soal hari ini 18 Julai. Soal hati yang begitu berat. Berat menanggung rasa.
Aku lebih rela mendengar ayah menarik nafas berat di katilnya, aku lebih rela mendengar mesin hospital berbunyi kuat, aku lebih rela mendengar tangis duka semua orang, aku lebih rela dimarah pengawal bila mana aku berdegil tak mahu keluar, aku lebih rela jari-jariku dikotori buih-buih hitam yang keluar dari mulut ayah, aku lebih rela berdiri di sisi katil ayah mengajar dia menyebut Allah, Allah. Allah Akbar. 'Ayah, kalau dengar suara along mengucap Ayah. Laa ilaa haillallah. Laa ilaa haillallah. Baca dalam hati ayah, Allah. Allah.'

Air mata jadi peneman setia. Kalau aku seorang cucu merasa begini berat. Inikan pula anak-anak ayah. Apalagi mak. Isterinya yang berada di sisi sejak awal hingga kita. Teman bermanja, teman bergaduh. 

Allah. Bukan niat ingin melawan takdir. Tapi hati ini takut membayangkan bunyi mesin Bip! Bip! Bip! penuh irama itu bertukar satu suara nyaring. Biiiiiiiiiiiiip, tanpa henti.

Aku tengok mak berwajah tenang. Tiada riak sedih. Berkelakuan biasa. Dia duduk di sisi adik ayah, adik iparnya. Lantas dipeluk dari belakang. Mungkin si adik memberi kekuatan.

'tak pa, tak po. Bereh, lelah sikit jaley' 

cuba melepaskan pelukan. Seolah-olah dia baik-baik sahaja . Bila mana si adik terus memeluknya kejap, tenaganya kurang. Dia diam. Mula ku lihat wajahnya sebak. Dia bangkit berjalan perlahan ke arah sisi katil ayah dipimpin sepupu. Duduk merenung ayah. Tubuh kecilnya bangun sedikit merapati wajah ke telinga ayah,

'ayah mung. Oh ayah mung. Bangun lah. Bakpo lagu ni. Demo tok cekak, kito pun tak cekak jugok'. Katanya pada ayah, seolah-olah bercakap dengan ayah yang masih sihat.
Diusap mata ayah. 
`rapatnya tutup mata. ' bicaranya seolah-olah berbual dengan ayah. Disentuhnya wayar berselirat di dada ayah yang ditutupi baju hospital, rautmuka kembali suram. Sebak. Seolah-olah menahan tangis.

Allah. Bercucuran jua air mata aku melihat mak. Allah. Aku tahu, biar banyak gaduhnya dengan ayah. Biar banyak marahnya pada ayah, dia sayang. Isteri mana tak sayang suami.

Asar berkumandang. Dr datang kekatil ayah. Katanya, bantuan oksigen pada ayah perlu dihentikan..
Dadanya makin lemah. Barangkali kalau wayar ditubuh ayah dan oksigen diberhentikan, besar kemungkinan Ayah akan tiada. DR minta semua bersedia. Masing-masing makin sebak. Satu persatu datang. Tak putus-putus kunjungan.

Anak cucu mula berkumpul. Jam 7, saudara jauh beransur pulang. Waktu melawat sudahpun habis. Anak cucu masih setia di sisi katil ayah. Bacaan yasin, selawat. Minta Allah permudahkan.

Selesai solat maghrib, aku kembali ke katil ayah. Waktu tu, umi tengah bercakap dengan nurse yang bertugas. Nak katakan, kami setuju. Kami serah pada Dr. Buanglah oksigen. Kami redha. Panjang umur ayah selamat. Dr maklumkan prosedur. Satu masalah timbul, nak bawa ayah kena guna ambulan sendiri. Hospital hanya sedia ambulan sampai jam 7. 
Umi mula kalut cari ambulan. Alhamdulillah dapat. Allah mudahkan. Sampai jam 7.45 pengawal minta keluar.

Berat hati kami nak keluar. 'encik  kejap lagi ayah saya dah nak buang wayar. Kami tunggu Dr. Lepas maghrib Dr dtg.' kata mak su. 

Tetap juga pengawal bersikeras. Tak salahkan dia. Memang itu prosedur. Katanya, dua orang je boleh tunggu. Yang lain minta turun. Kecewa. Tak rela. Atas budi bicara, pengawal benarkan tunggu diluar pintu wad tak perlu turun ke pagar utama.
Masing-masing menanti.

Satu persatu katil disorong keluar oleh jururawat bertugas. Satu benda aku takut waktu tu. Tolong jangan sorong katil ayah yang sudah tiada. Soronglah katil ayah yang penuh wayar. Aku masih rela.
Borang borang mula abah tanda tangan. Proses seterusnya dah tak lama. Moga Allah mudahkan urusan ayah. 

Dari lepas maghrib hingga ke isyak. Masih tiada tanda-tanda Dr nak teruskan proses. Masing-masing menunggu di sisi katil ayah. Ambulan peribadi dari tadi menunggu, menanti ayah. Isya' berkumandang. Diam! Lepas isya' juga baru Dr datang uruskan ayah.

Umi pesan juga 'kejap lagi Along dengan Hakim (adik lelaki) naik ambulan dengan ayah. Umi, abah, mak su, mak cik dan yang lain akan gi dengan kereta. Along besar dah. Umi serah ko along'.

Mak Su pula datang, 'along nanti ajar ayah mengucap dok tepi ayah ya'.

Aku angguk. Hakim masih di tingkat bawah. Usai semua urusan buang alatan pada badan ayah dan bantuan oksigen, Ayah dipindahkan ke katil ambulan disorong turun ke tingkat bawah tempat menunggu ambulan.

Satu demi satu proses aku tengok.Ayah disorong masuk ke dalam ambulan. Nurse yang bertugas memakaikan topeng oksigen, bantuan sementara untuk ayah.  Aku dan Hakim masuk ke tempat duduk penumpang. Hakim di depan di sisi kepala ayah, aku di belakang di sisi tubuh Ayah. Ku pakaikan Oximeter, alat mengesan denyut nadi pada jari telunjuk ayah seperti yang diminta.

Entah apa yang aku rasa dalam ambulan. Gusar. Risau kalau Ayah pergi saat kami masih di dalam ambulan. Boleh ke aku menerima. Oximeter menunjukkan bacaan menurun. Aku kerling Hakim yang dari tadi menyebut ucap Syahadah di telinga Ayah. Tangan Ayah aku genggam. Tak sanggup aku lepaskan Ayah masih bernafas laju, menyedut dalam oksigen seolah-olah sukar benar nafasnya. Hampir setiap minit aku beritahu bacaan denyut nadi ayat pada Hakim. Dia juga risau sebenarnya.

Bunyi siren ambulan menambahkan cuak di dada ditambah dengan rasa loya dek kerana kelajuan ambulan. Mata ayah masih tertutup rapat. Tiada tanda-tanda ingin dibuka. Tangan ayah sejuk benar. Takut juga aku sebenarnya. Hanya bila ku sentuh lengan ayah yang sedikit suam hatiku rasa tenang.

Dari awal perjalanan hingga tiba ke rumah, Hakim mengucap di tepi telinga ayah. Moga-moga Ayah dengar. Moga-moga Ayah ucap dalam hatinya. Sementara aku tolong sedikit urusan tunjuk jalan ke rumah. Hati tak habis berdoa. Allah. Tolong mudahkan perjalanan. 

Sampai sahaja dirumah Ayah diangkat turun. Pak Do, bapa saudara aku dah siapkan tempat Ayah di ruang tamu. Buih dari mulut Ayah masih keluar seiring nafas beratnya. Ku lap dengan tisu yang kami bawa dari hospital. Sementara staf Ambulan menguruskan Ayah, yang lain tak putus mengalunkan bacaan Yaasin. Ku elus dahi Ayah yang berkeringat. Bibir tak henti mengucap Syahadah di telinga kanan ayah, dengan harapan Ayah dengar. Hakim meneruskan bacaan Yaasin. 

Jam menunjukkan 10.15 malam. Buih hitam dari mulut Ayah masih keluar. Mungkin cecair dari perut ayah. Sekejap, Ayah diam. Tidak seperti tadi. Menarik nafas pun tidak. Aku cuak. Sumpah! Aku pegang dada ayah. Merasa kalau-kalau masih ada degup jantung. Dub, dub. Lega. Ada tapi begitu lemah. Cuma saja. Dia tidak menarik nafas lelah. Ku tenung wajah ayah. Bapa saudara dan saudara yang ada menyentuh dada, tangan dan kaki ayah. Masing-masing tidak pasti. Kurang dari 10 minit, tiba-tiba Ayah menarik nafas kuat dan dihembusnya. Aku lega. Cuma sahaja hanya 2 kali hembus. Ayah kembali diam. Hembusan kedua mengeluarkan buih yang lebih banyak dari yang sebelumnya. Banyak sungguh. Aku lap dengan tisu. Ayah masih diam. Aku sentuh lagi jantung ayah. Lemah sungguh. Ikutkan aku masih ada Ayah. Tapi kata Hakim. Ayah dah tak de. Roh dan organ ni lain. Organ dia bergerak sedikit tapi nafasnya dah tak ada. Aku menafikan sedikit, menggeleng kepala. 
'ada lagi` kataku. 
' pak do tengok kejap' aku panggil pak do. 
Pak Do sentuh lagi, 'mace tak dop' 
Saudara lain turut sama bersetuju dengan Pak Do. 
Tak lama, Abah sampai.
'Abah, meh tengok Ayah meta' kataku
Abah datang sentuh leher ayah, dan beberapa tempat.
'eh macam tak dop doh ni'.
Aku tak tahu apa aku rasa, aku bingung. Kelu sebenarnya. Menangis tidak. Sedih tidak. Rasa cuak. Otak aku rasa kosong. Depan aku soalnya. Disisi aku.Dari tadi aku di tepi telinga ayah. Baru tadi Ayah menarik nafas, menghembus di sisi aku. Walaupun terlihat berat. Tiba-tiba berhenti. 
Saudara yang lain minta Pak Do panggil Imam dan Dr untuk pengesahan.
11.35 malam, Dr datang membawa alatan. Samar-samar dia mendengar mesin kardiograf mendengungkan satu nada panjang kematian. Betul. Ayah dan tiada. Ayah pergi menghadap Ilahi. Orang dah mula ramai. 

Aku diam. Senyap. Merenung ayah, kosong. Berteleku. Barangkali 2 nafas berat yang terakhir itu hembusan penyudahan. Hembusan penghabisan. Aku dipertontonkan dengan kematian tepat di depan mataku. Rupanya Izrail dah tunggu Ayah di rumah mengepakkan sayapnya di antara desah tangis semua. Aku call umi, mak su, mak cik dan mak long. Memaklumkan. Masing-masing sebak. 
Malam tu, umi minta keluarga terdekat habiskan 30 juzu' Al Quran sedekah untuk Ayah. Masing-masing bergilir-gilir bacakan untuk Ayah. Alhamdulillah selesai bacaan Al Quran untuk ayah. 

Jam 9 pagi lebih, jenazah dimandikan, dikafankan, disolatkan. 
Ciuman terakhir sebelum jenazah disempurnakan kafan, saat yang kurasa cukup syahdu. Sejuk benar dahi Ayah. Berkeringat. Tenang mukanya. Kucupan terakhir dariku buatmu nenenda. 

Lebih kurang jam 11 jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan. Talkin dibacakan. Allah! Perginya kau Ayah, atuk yang aku sayang.  

Perginya Ayah di malam jumaat penuh barakah. Perginya Ayah dalam senyuman. Berat penderitaan yang Ayah tanggung tapi Allah mudahkan segala urusan. Dari pengurusan jenazah Ayah, pengebumian semuanya Allah mudahkan. 

Hari itu, masih ku ingat hujan renyai turun titis demi titis mengiringi pemergian Ayah. Jenazah dimandikan tika mana bumi dibasahi hujan. Jenazah dikebumikan tika mana matahari menerangi alam. Hujan berhenti tanpa aku sedar. Pandai perancangan Allah. 

Ayah meninggal disebakan penyakit dalam perut. Barangkali sudah hampir 7 tahun organ dalaman ayah telah pecah memuntahkan lelehan keluar dari mulutnya. 

Kata Abah, orang yang mati sebab penyakit dalam perut ni, mati syahid. 

Rasulullah pernah bersabda:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ : المَطْعُونُ ، وَالمَبْطُونُ ، وَالغَرِيقُ ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid: iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah bersabda lagi, 
يغفر الله للشهيد كل ذنب إلا الدين

“Allah mengampunkan semua dosa bagi mereka yang syahid kecuali hutang.”

Moga Ayah tergolong di kalangan para syuhada' dan Allah ampunkan segala khilaf Ayah. 

Untuk angah. Aku tahu, dia juga bersedih. Dia masih di sana. Mungkin hatinya rasa nak sangat balik. 😢 Tapi jarak memisahkan. Salsabila adik aku yang ketiga, dengar sahaja Ayah tenat dihospital, terus diambil tiket dari Perlis. Mungkin dia juga tak sangka, balik nak melawat Ayah dihospital rupanya balik melihat Ayah yang dah tak de. Hakim pun Umi ambik di Tahfiznya, bacakan Al Quran untuk Ayah di hospital.

Untuk Ayah Ngah bapa saudaraku, memang Allah takdirkan pertemuan Ayah Ngah dan Ayah hanya sampai sebelum keberangkatannya ke Mekkah. Tak sempat Ayah Ngah melihat jenazah Ayah. Tak sempat Ayah Ngah mengucup rindu dahi Ayah. Allah hantar Ayah Ngah ke Tanah Suci. Berteman rindu dan doa Ayah Ngah kirimkan pada Ayah. Semuanya terasa cepat. Sekejap sungguh. Itulah hidup. Yang hidup pasti mati. Janji Allah itu pasti.

Hari ni hari ke 7 pemergian ayah. Masing-masing masih merasakan kesedihan, kedukaan. Moga Allah berikan kekuatan untuk kami menerima ketentuan dan takdir hidup dari Tuhan. 


#shahira_elyas. 

Comments

Popular posts from this blog

Muwasafat Tarbiyah

Assalamualaikum dan salam Sabtu buat semua. Alhamdulillah, seperti yang aku janjikan hari ini akan ku sambung perkongsian ilmu tentang Muwasafat Tarbiyah. Dan Inn syaa Allah, Wasilah Khusus Tarbiyyah Islamiah akan menyusul di entri yang akan datang. Hakikatnya kata muwasafat itu asalnya dari kata wa-so-fa yang bermaksud ciri atau watak. Muwasafat pula berkait dengan seseorang pelaku, (subject) dalam menyerlahkan sifatnya. Macam susah nak faham kan? Berbelit-belit pula jadinya. Sabar. Jangan stress. Baca perlahan-lahan, Inn syaa Allah faham lah nanti. Tarbiyah pula ertinya mendidik. Maksud yang lebih jelas tentang tarbiyah telah aku kongsikan dalam entri sebelumnya. Secara mudahnya Muwasafat tarbiyah itu bermaksud ciri-ciri atau sifat atau peribadi yang perlu ada dalam diri seseorang dalam membentuk seorang Muslim yang syumul. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyu...

CRUSH

Assalamualaikum sister and brother yang  aku sayang. Ok, sebelum tu bila sebut sister jangan pula fikir benda yang bukan-bukan. Fikir tentang Yahudi, Kristian bagai. It just about 'kakak' yang diertikan dalam Inggeris je. Aku cakap awal-awal. Tak pasal-pasal nanti kena kecam, iluminati bagai. Please, open your mind. Change your mentality, ubah persepsi. So for today, apa yang akan aku kongsi, beri pandangan peribadi adalah tentang CRUSH. Bukan apa, tapi sejak 2,3 minggu akhir-akhir ni banyak pula confession cinta. Dekat mana? Dekat salah satu group telegram. Aku masuk group tu before group tu glamour yang tahap kalau boleh semua orang nak screenshot confession dalam tu jadi status whatsapp. Aku masuk group tu sebelum kebanyakan isi-isinya tentang cinta, tentang crush, tentang orang yang kau minat pakai baju apa, buat apa, budak mana, fakulti mana and so on. And so on. Group apa? Tak pelah. Tak nak lah aku cakap group apa. But probably most of USIM's students know ab...

Tarbiah Itu Apa?

Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar semua saudara seagamaku? Saudara sehati sejiwa dan moga-moga kekal sebagai saudara sejannah jua. Moga sentiasa sihat jiwa, raga dan imannya. Petang tadi, satu mesej masuk dalam group WhatsAppku. Suatu soalan jelas bertanda soal terlihat pada skrin handphoneku. Soalan dari adik lelakiku. “Apa maksud tarbiah yang ada semua tahu?” soalnya dalam salah satu group. Aku terdiam. Hakikatnya erti kata “tarbiah atau tarbiyah” itu selalu datang dan pergi dalam sehari-hariku. Selalu sangat aku dengar kata tarbiah itu. Sejak zaman sekolah menengah lagi. Tambah-tambah bila bersama dalam liko’ Badan Dakwah sekolah. Lagilah kerap aku mendengar kata itu. Namun seketika aku termangu sendiri. Sejauh mana aku faham soal tarbiyah sebenarnya? Tarbiah itu bukan sesuatu tetapi sesuatu itu memerlukan tarbiah. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mentarbiyah orang lain, sampai kita sendiri terlupa mentarbiyah diri yang selalu dahagakan teguran dan pengisian jiwa. Kerana...